Tuesday, November 30, 2010

puisi Buat Melayu Champa cambodia

Sabarlah wahai Pak Tua
Satu hari akan tiba jua detik bahagia tanahmu
Malah sudah ada subur dan sinar bukan..
Kau mula rasa kini kemajuan
Kerana anak-anak mudamu mula punya kesedaran
Mula bangun meneroka dunia luar
Punya keinginan sama dan kejituan
Usaha, asa, tenaga dan cita-cita
Mahu sama tinggi berdiri
Mahu selesa sama duduk rendah hati

Wahai Anak Muda
Lupakan silam kejam itu
Walau merangkak bangkitlah
Biar bertatih gagahkan kudratmu
Rancakkan wacanamu
Walau becak salut lumpur kau redah
Biar hujan berpanas
Sampai bila dan kemana mahu begini saja?

Kami peduli, kami bantu, kami bagi keperluan, kami wajar dan waras
Kerana kamu saudara seagama
Biar Angkor Wat itu berdiri megah
Biar Killing Field itu sunyi memendam darah sejarah
Biar mengalir terus Sungai Mekong yang gagah itu
Biar Tasik Tonle Sap itu terus bernyawa
Namun yang punya jiwa dan rasa itu harus sama nafasnya
Mana mungkin kami tiada hati
Kami hadir walau ada payah
Mana mungkin biar kalian sendiri-sendiri
Terasing dibumi sendiri
Walau permata menggenggam jatidiri
Harta tak ternilai

Wahai Anak Kecil
Kesat hingusmu, rapikan rambutmu
Bersihkan dirimu, sopankan zahirmu
Kerana santun timur itu tetap tangan Melayu
Pedulikan jalan debu menyesak nafas itu
Alah bisa tegal biasa
Ayuh jalan cari ilmu walau baru, walau malu
Biar orang luar gentar walau kau masih gigil
Biar tidak dipijak lagi
Biar menyembah bumi tapi berisi
Biar kudrat kental bagai besi
Terjangkau akal dek hati budi

Satu hari pasti bunga-bunga mekar itu payah suntingannya
Satu hari pasti arjunamu gagah didepan barisannya
Menjaga maruah yang terbilang
Sejarah yang takkan tumbang semula
Terhunus senjata perisai garang mengawal tanahmu
Kebal kerana percaya Tuhan itu Satu!

p/s : Sama-sama kita hayati. Maaf jika tidak rasi.

No comments: