Saturday, November 27, 2010

CAMBODIA

MELAYU CAM CAMBODIA MENHGARAP SIMPATI BANGSA SERUMPUN

2010/07/03

UMAT ISLAM TERCICIR ARUS PEMBANGUNAN KEMBOJA

PADA saat kapal terbang AK274 hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, petang 23 Jun lalu, terlihat petak sawah menghampar saujana mata memandang. Kelihatan juga Sungai Mekong yang berliku dan pernah mengusik hati nurani penyair, A Latiff Mohidin.

Gambaran itu tidak berbeza dengan lukisan fikiran penulis. Namun, selepas menjejak kaki di lapangan terbang, ia semakin berubah apabila melihat pemodenan yang sedang pesat. Lapangan terbang moden, besar dan bersih, sistem imigresen yang teratur dan kenderaan yang tidak berbeza dengan tanah air semakin mencairkan gambaran stereotaip sebelum ini.
Dari segi seni bina pula, Kemboja memberi perhatian terhadap simbol jati dirinya. Ini dibuktikan dengan reka bentuk bangunan seperti Parlimen dan pejabat kerajaan yang memaparkan unsur Buddha.
Penulis bersama peserta Seminar Antarabangsa Warisan Melayu Kemboja, Laos dan Vietnam, anjuran bersama UiTM, UKM, Royal Academy of Cambodia dan beberapa agensi menuju hotel penginapan di kota Phnom Penh, dipandu Koe Socheath dari Royal Academy of Cambodia yang digambarkan bekas Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Wan Zawawi, persis Aung Sang Suu Kyi (reformis Myanmar).

Ketika melintasi University of Phnom Penh, beliau menceritakan bangunannya dibakar Rejim Pol Pot pertengahan 1970-an. Rakyat Kemboja masih tidak dapat memahami mengapa universiti itu harus dimusnahkan dan bertempiaranlah profesor, pensyarah serta mahasiswanya pada waktu itu meninggalkan Phnom Penh.

Seperti kota lain di Indochina, penggunaan motosikal begitu ketara, selain terlihat juga kereta mewah yang menjalar di jalan raya.

Penggunaan hon juga berleluasa tanpa ada sesiapa yang berasa tersinggung dan di Phnom Penh dikatakan amat jarang berlaku kemalangan walaupun sistem lalu lintasnya tidak secanggih di negara kita.
Satu pemerhatian yang nyata ialah banyak taman riadah di kota Phnom Penh. Taman itu digunakan warganya untuk berehat dan bersenamrobik beramai-ramai setiap petang sama ada pada hari bekerja atau pada hujung minggu.

Ia turut dilihat di pasar seperti Central Market yang pasti menjadi tumpuan pelancong termasuk dari Malaysia. Sebagai bukti ramai pelancong Malaysia sejak sekian lama, sehingga dikatakan semua peniaga boleh bertutur bahasa Melayu yang dapat difahami sebagai bahasa perniagaan.

Tidak tertelan makanan yang sedang dikunyah pada waktu makan tengah hari pada hari kedua, apabila melihat seorang ibu muda yang mendukung anak kecilnya meminta sedekah di sebalik cermin tebal di hotel penginapan.

Begitulah antara gambaran di Phnom Penh yang lazim walaupun di tengah proses pembangunannya. Kelihatan peminta sedekah di pelbagai tempat yang sangat menguji orientasi kejiwaan kita. Namun, dapat disaksikan betapa gigih penduduknya mencari rezeki untuk kehidupan. Selain menjalankan perniagaan besar, warga kotanya menjalankan pelbagai aktiviti yang dapat memberikan mereka wang untuk kehidupan.

Peniaga kacang tanah rebus yang bekasnya dijunjung di kepala, penjual mi yang berjalan sambil mengandar barang jualan, penjual kraf berdagang menggunakan basikal, penyapu sampah gigih yang dibantu anak kecilnya, penjual barang permainan di pinggir jalan, selain pengusaha tuktuk (beca bermotosikal) antara pemandangan biasa yang memaparkan kekentalan semangat Phnom Penh.

Penyair Dr Lim Swee Tin yang berjalan dengan penulis ke Central Market menyebutkan wajah lelaki di Phnom Penh kelihatan agak tegang. Saya mengatakan barangkali kerana sukar mencari pendapatan untuk melangsungkan kehidupan harian.
Menurut Prof Dr Kang Om dari Royal Academy of Cambodia, satu perkara yang pasti ialah jenayah seperti rompakan, kecurian, rogol dan pembunuhan terlalu jarang berlaku di Kemboja.

Apakah kerana ajaran Buddha atau faktor hukuman yang sangat keras kepada pelakunya? Barangkali kedua-duanya. Maka, terimbaulah penulis kepada keadaan di tanah air.

Membicarakan warisan Melayu di Kemboja tentu tidak terpisah daripada tinjauan kehidupan orang Islam di negara berkenaan yang kini berjumlah kira-kira 300,000 orang. Dikatakan pada 1975, ada 700,000 orang Islam tetapi sebahagian besarnya dibunuh rejim Pol Pot yang antiagama.

Peserta mengambil kesempatan mengunjungi perkampungan orang Islam di Phnom Penh. Pada 24 Jun, peserta disediakan makan malam oleh Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) di Chrang Chamres.

Pada malam itu, peserta mengambil kesempatan bersedekah dan berwakaf untuk membantu CMIA menyediakan infrastruktur sistem pendidikan bersesuaian dengan keperluan umat Islam dalam negara yang berteraskan agama Buddha.

Pada sebelah petang 25 Jun, sekumpulan peserta ke Chrouy Changvar kira-kira lima kilometer dari tempat persidangan. Perkampungan yang didiami 400 keluarga itu terletak di tebing Sungai Mekong yang penuh cerita mengenainya.

Perkampungan berusia lebih 100 tahun itu pernah mengalami kisah duka yang amat menyayat hati ketika rejim Pol Pot menguasai Kemboja kira-kira empat tahun bermula 1975.

Chrouy Changvar kehilangan tiga imam yang dibunuh kejam oleh rejim berkenaan. Kini, Masjid Darussalam mercu tanda kampung itu sedang dalam pembinaan. Kosnya AS$150,000 dan tentu menuntut sumbangan pelbagai pihak. Seperti ketika menjadi tetamu CMIA, di Chrouy Changvar nama Malaysia sering kali disanjung.

Selama ini, sememangnya pelbagai pertubuhan Islam dan umat Islam Malaysia paling banyak menyalurkan bantuan kepada mereka. Namun, untuk mencapai tahap kecukupan, masih terlalu jauh.

Terlalu banyak yang hendak dipaparkan mengenai Kemboja. Namun cukuplah penulis menyebutkan apabila kita berkunjung ke negara serumpun dengan mata hati yang terbuka, ingin mengerti dan berbakti, rasa persaudaraan akan terikat dan terpahat.

Pemahaman terhadap budaya, bahasa dan sejarah setiap negara itu akan memunculkan rasa kesatuan bahawa kita harus hidup bersama dan saling memakmurkan dengan membantu mereka bangkit dan terus membangun.

No comments: